PETALING JAYA, 9 FEB: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal mewujudkan lima lagi perpustakaan berkonsep mesra transit tahun ini.
Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata antara lokasi cadangan adalah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Shah Alam; PPR Taman Medan Jaya dan Desa Mentari, Petaling Jaya; Pangsapuri Enggang, Puchong dan Bangi.
“Insya-Allah, lima lokasi perpustakaan ini masih dalam perbincangan bersama pihak yang berkenaan dan jika tiada aral melintang ia akan diwujud pada tahun ini,” katanya.
[caption id="attachment_623257" align="aligncenter" width="661"] Perpustakaan Awam Selangor@Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi menyediakan ruang lebih selesa untuk pengunjung pelbagai peringkat umur. Foto Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)[/caption]
Dalam pada itu, Mastura menyaran kepada semua agensi kerajaan dan swasta menyalurkan sumbangan supaya lebih banyak perpustakaan dapat diwujud.
“Kita mengalu-alukan agensi kerajaan, syarikat korporat dan swasta untuk menyalurkan bantuan. Setiap sumbangan mereka akan dapat pengecualian cukai,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara di sini, semalam.
[caption id="attachment_686052" align="aligncenter" width="666"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop (dua, kanan) menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (kiri) mewakili sembilan perpustakaan mesra transit seliaan PPAS sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika perasmian Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara pada 8 Februari 2025. Foto RADIN WAZIR[/caption]
Setakat ini, sebanyak 14 perpustakaan mesra transit di Selangor yang rata-ratanya dilengkapi dengan tandas, surau, pantri, ruang multimedia, WiFi percuma, sudut bacaan kanak-kanak dan dewasa serta bilik penyusuan.
Sebelum itu, Amirudin berkata Selangor membudaya perpustakaan sebagai gedung ilmu dengan pelbagai kemudahan untuk semua sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri berlandaskan pengetahuan.