SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mempertahan tindakannya terhadap kumpulan GISB Holdings (GISBH) yang didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan setiap tindakan yang dilaksana pihaknya berlandaskan siasatan rapi dan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Kita negara demokrasi, bagi pihak kita sebagai pihak yang bertanggungjawab, termasuk agensi lain, kita akan pertahankan (tindakan) daripada segi undang-undang.
[caption id="attachment_668270" align="alignleft" width="438"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas majlis penutup program kesedaran pemerkasaan tadbir urus dan integriti rumah-rumah kebajikan anak yatim Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 15 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita mahu pastikan apa yang kita lakukan selama ini mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya ditemui pemberita di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan program kesedaran pemerkasaan tadbir urus dan integriti rumah anak yatim bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) bersama agensi penguat kuasa.
Dalam pada itu, Abdul Aziz yakin polis menjalankan siasatan terperinci sebelum melakukan serbuan dan tangkapan di premis milik GISBH, khususnya di Selangor.
Bagaimanapun, beliau bersikap terbuka dan berharap kenyataan penafian yang dibuat ahli GISBH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disiasat dengan baik oleh semua pihak.
“Bila polis buat siasatan, ia sangat terperinci untuk dipastikan ia benar-benar terjadi. Kalau dia (ahli GISBH) cakap begitu, kita perlu kaji sama ada itu betul atau tidak,” katanya.
Semalam, anak perempuan kepada pengasas Al-Arqam Asaari Muhammad mendakwa GIBSH tidak mengamalkan ajaran kumpulan Al-Arqam yang diisytihar sesat pada Ogos 1994.
Khaulah Asaari, 38, yang juga pengarah salah sebuah anak syarikat GISBH dilapor berkata semua ahli dalam kumpulan tersebut juga tidak mengamalkan Aurad Muhammadiyah.
Pada 10 September, polis menyerbu 20 premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.