Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 6 FEB: Seramai 200 peserta Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) berjaya meraih jualan atas talian secara keseluruhan berjumlah RM147,000 dalam tempoh sejam.
EXCO keusahawanan berkata kemampuan mereka menguasai perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan menarik telah menjana pendapatan berganda berbanding kaedah konvensional.
“Kita melatih dan memberikan pendedahan kepada usahawan ini mendapatkan kemahiran dalam bidang digitalisasi. Kemudian kita membantu mereka mempromosikan produk dan perniagaan mereka menerusi aplikasi TikTok, Youtube, Shopee dan sebagainya.
“Penganjur membuat satu modul dan peserta program ditugaskan mempromosi atau menjual produk mereka menggunakan aplikasi media sosial dalam masa sejam. Alhamdulillah mereka mencatat jualan berganda berbanding kebiasaan,” kata Mohd Najwan Halimi ditemui selepas majlis penutup siri kedua program di sini hari ini.
Beliau berkata usahawan juga dilengkapkan dengan mesin peranti sistem titik jualan (POS) yang memudahkan lagi proses jual beli melalui atas talian.
“Jadi lepas ini kalau orang nak beli barang mereka maksudnya selain daripada transaksi secara tunai mereka juga berpeluang mengguna pakai transaksi atas talian melalui sistem kod respon pantas (QR) dan juga kad,” katanya.
Najwan menambah keberkesanan program ini juga dapat dilihat apabila menarik perhatian usahawan dari negeri lain yang turut berminat untuk menyertainya, walaupun baru setahun dilancarkan.
“Kita turut menerima permintaan daripada usahawan luar negeri Selangor yang juga berminat untuk menyertai program ini tetapi kita ada keterbatasan, keutaman kita adalah kepada mereka yang berpusat dan bertempat di negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya komited meningkatkan ilmu digitaliasi dalam kalangan usahawan.
“Antara tujuan kita buat Plats adalah untuk digitalisasikan perniagaan dan kita lihat sekarang kebanyakan peniaga di Selangor dah mula menggunakan QR, pembayaran secara atas talian dan sebagainya, ini satu perkembangan yang baik,” katanya.
Tahun lalu, MBI memperkenal program U-PLATS bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 PBT.
Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.