IPOH, 6 FEB: Seorang pekerja am syarikat sewa kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata sehingga menyebabkan tangan seorang lelaki putus pada Jun tahun lepas.
Mengikut pertuduhan, K Karan, 25, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan sebilah parang kepada L Nadesan, 30, sehingga menyebabkan pergelangan tangan mangsa terputus.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 23 Jun 2024, kira-kira 11 pagi, di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N M Morganaraj Mithra dan tertuduh diwakili peguam Kala Jeya Kumar.
Morganaraj memohon mahkmah jaminan RM15,000 namun Kala dalam rayuannya memohon jumlah minimum RM5,000 kerana tertuduh yang masih bujang hanya berpendapatan RM1,700 sebulan serta masih menanggung dua adik yang masih belajar selain berstatus yatim piatu.
Majistret Siti Nora Sharif kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.
Pada 23 Jun tahun lepas, pergelangan tangan manusia dilaporkan ditemui berhampiran satu lokasi kebakaran kereta di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini.
Siasatan yang dilakukan oleh pihak polis mendapati tangan tersebut milik mangsa lelaki warga tempatan yang diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang dalam satu kejadian pergaduhan, dipercayai berkaitan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.
- BERNAMA


