ad
AGENDA

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2025 dibuka hingga 28 Februari

5 Feb 2025, 1:30 PM
Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2025 dibuka hingga 28 Februari

PUTRAJAYA, 5 FEB: Permohonan secara dalam talian bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 dibuka bermula 3 Feb hingga akhir bulan ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan program biasiswa berprestij itu terbuka kepada mahasiswa peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) sepenuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan negara.

Menurut JPA antara bidang yang tersenarai ialah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam dan kecerdasan buatan (AI) dengan calon berminat perlu menunjukkan potensi besar untuk menjadi pemimpin dalam bidang akademik dan profesional.

"Keutamaan diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan bukan akademik, serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi," menurut kenyataan itu hari ini.

JPA memaklumkan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengemukakan permohonan melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.