AGENDA

Skim kemalangan bukan bencana kerja akan dibentang, lindung pekerja 24 jam

5 Feb 2025, 7:02 AM
Skim kemalangan bukan bencana kerja akan dibentang, lindung pekerja 24 jam

SHAH ALAM, 5 FEB: Rang Undang-Undang Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dijangka dibentang di parlimen tahun ini, maklum timbalan menteri sumber manusia.

Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pelaksanaan SKBBK yang bakal memberi perlindungan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.

“SKBBK akan ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meliputi kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.

“Skim ini dicadangkan akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mengenai pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso.

Selain itu, katanya SKBBK adalah mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan di luar waktu kerja, terutama bagi pekerja yang terlibat dengan aturan kerja fleksibel (FWA).

Menurutnya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) turut cakna dengan perubahan landskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau FWA oleh majikan di Malaysia kesan perkembangan digitalisasi.

“Kesuma melalui Perkeso turut mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan cadangan pelaksanaan SKBBK.

“Ia termasuk pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang- Pengilang Malaysia (FMM).

“Selain itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak,” katanya.