AGENDA

PM: Harga lantai padi yang baharu diumum minggu depan

4 Feb 2025, 4:47 AM
PM: Harga lantai padi yang baharu diumum minggu depan
PM: Harga lantai padi yang baharu diumum minggu depan

SHAH ALAM, 4 FEB: Kenaikan harga baharu lantai padi pada kadar munasabah akan diumum dan diperincikan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga akan memperuntuk subsidi RM150 juta bagi tempoh enam bulan bagi mengimbangi harga beras dan meringankan kos pengguna.

“Kita tidak boleh bicara satu pihak sahaja untuk pertahan pengguna tetapi memangsakan pesawah dan naikkan (harga lantai padi) sehingga memangsakan pengguna kerana pengguna miskin pun ramai.

"Minggu depan paling akhir, menteri akan beri penjelasan dengan pengumuman kenaikan harga (lantai padi) yang munasabah dengan subsidi daripada kerajaan yang bertambah," katanya.

[caption id="attachment_685261" align="aligncenter" width="736"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 4 Februari 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Bercakap dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata kementerian akan memperluas penanaman padi mengikut dasar Agro Makanan sebagai keterjaminan.

Selain Semenanjung, beliau menambah Sarawak turut memulakan projek raksasa tanaman padi untuk meningkatkan produktiviti berikutan keperluan beras tempatan yang semakin meningkat.

"Kita juga luluskan RM1 bilion untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan dijangka dilancarkan hujung bulan ini supaya dapat penuhi keperluan tempatan kepada 70 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dalam memorandum menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.

Memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian turut membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.