AGENDA

Sultan Ibrahim mahu Malaysia tunjuk keupayaan pimpin Asean, dukung prinsip keamanan

3 Feb 2025, 5:23 AM
Sultan Ibrahim mahu Malaysia tunjuk keupayaan pimpin Asean, dukung prinsip keamanan

SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong mahu Malaysia menunjukkan keupayaan memimpin khususnya dalam menentukan hala tuju Asean selaku pengerusi rantau itu pada tahun ini.

Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan sekali gus memastikan peperangan di Gaza segera tamat.

"Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau dan sempadan negara.

"Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan," titah baginda.

Baginda menyampaikan titah berkenaan ketika menyempurnakan istiadat pembukaan penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Asean pada 1977, 1997, 2005 serta 2015, dan kini mengambil alih jawatan itu secara rasmi pada 1 Januari lalu.

Tema kepengerusian Asean – Malaysia 2025 ialah 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang membawa nilai utama berteraskan prinsip Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan serta ihsan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim berharap semua pihak berusaha menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 terutamanya dalam memastikan negara sentiasa bersih dan selamat.

Baginda bertitah pelancong perlu melihat keunikan budaya dan nilai murni masyarakat sekali gus membuka peluang ekonomi serta mengukuhkan imej negara di persada dunia.

"Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi," tegas baginda.