AGENDA

Sabah, Sarawak, Labuan diramal hujan lebat, ribut petir hingga 9 malam

1 Feb 2025, 10:14 AM
Sabah, Sarawak, Labuan diramal hujan lebat, ribut petir hingga 9 malam
Sabah, Sarawak, Labuan diramal hujan lebat, ribut petir hingga 9 malam

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sarawak, Sabah dan Labuan sehingga 9 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terjejas di Sarawak meliputi Sibu (Selangau), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri dan Limbang.

Antara kawasan lain yang tersenarai ialah di Sabah merangkumi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).

Amaran sama turut melibatkan seluruh kawasan di Labuan.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan berdasarkan analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku dari 4 hingga 7 Februari ini.

Beliau memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.

“Sehubungan itu, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa pada 4 sehingga 7 Februari 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia hari ini.

Orang awam turut dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

- BERNAMA