KUALA LUMPUR, 30 JAN: Penuntut wanita Malaysia di Hiroshima, Jepun yang dilaporkan hilang ditemukan selamat dan dibawa ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.
Maklumat mengenai penemuan Nurin Hannani Hafizi, 21, penuntut institusi pengajian Kure Kosen dikongsi Malaysian Students’ Association in Japan (MSAJ) di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Sebuah organisasi dakwah rakyat Malaysia di Jepun, IMAN Jepun turut berkongsi berita itu di Facebook.
“Kami menerima berita daripada Kedutaan Malaysia. Alhamdulillah, Hannani ditemukan selamat. Terima kasih kepada semua atas kerjasama, sokongan dan doa anda. Kebaikan dan usaha anda amat bermakna,” kata IMAN Jepun di laman Facebook rasminya.
Sebelum ini, Nurin Hannani dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke kampus sejak malam Isnin sehingga pihak Kosen membuat laporan polis mengenai kehilangannya.
- BERNAMA


