AGENSI

PKPS: Jualan murah barangan asas disambung semula Ahad ini

29 Jan 2025, 3:34 PM
PKPS: Jualan murah barangan asas disambung semula Ahad ini

SHAH ALAM, 29 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dihenti seketika sempena cuti Tahun Baharu Cina akan disambung semula Ahad ini.

“JER akan berehat bermula seketika mulai 29 Januari hingga 1 Februari 2025 sempena Tahun Baharu Cina dan persiapan stok keperluan jualan. JER akan kembali beroperasi pada 2 Februari 2025 (Ahad),” maklum agensi itu di Facebook.

Inisiatif itu menawarkan ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).

Turut dijual tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER. Pentadbiran negeri turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini. Cawangan pasar raya tersebut telah beroperasi di Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang.

Pasar raya kendalian PKPS itu menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran. Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasarkan pembukaan di 56 kawasan DUN menjelang 2027.

Selain itu, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.