AGENDA

PM: Malaysia bina sekolah, hospital, masjid untuk pembangunan semula Gaza

29 Jan 2025, 6:29 AM
PM: Malaysia bina sekolah, hospital, masjid untuk pembangunan semula Gaza
PM: Malaysia bina sekolah, hospital, masjid untuk pembangunan semula Gaza

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza, Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembinaan semula itu akan dijalankan melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

"Ia sebagai usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin," katanya menerusi rakaman video hari ini.

[caption id="attachment_680160" align="alignleft" width="500"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika himpunan pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Anwar berkata usaha pembangunan semula Gaza itu juga melibatkan kerjasama antara Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Pada 18 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih US$1 trilion.

Beliau berkata jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.

Menurut Anwar, Jepun mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam persidangan mengenai kerjasama antara negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), yang memfokuskan pembangunan semula Gaza.

Sementara itu, dalam catatan di Facebook, Anwar berkata pengumuman gencatan senjata di Gaza selepas kekejaman yang meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal, harus disambut dengan perancangan pemulihan Gaza.

“Titipkan doa dan harapan agar Allah SWT terus memberi perlindungan buat Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan kita dalam memberikan harapan baharu buat mereka, Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani mengumumkan bahawa usaha pengantaraan bersama Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berjaya mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel.

Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa 19 Januari itu turut menetapkan Hamas akan membebaskan 33 tawanan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

- BERNAMA