KUALA LUMPUR, 25 JAN: Jabatan Warisan Negara (JWN) komited untuk memastikan keaslian juadah warisan negara kekal terpelihara, meskipun trend semasa yang sering membawa kepada inovasi dalam penyediaan makanan.
Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin berkata walaupun sesetengah juadah warisan telah diinovasi atau disesuaikan dengan cita rasa terkini, pihaknya tetap memberi keutamaan kepada usaha pemeliharaan keaslian dan ketulenan resipi tradisional.
“Kita meraikan kepelbagaian (variasi makanan) khususnya apabila cita rasa individu sentiasa berubah. Tetapi, bagi kami di JWN di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), kita mengekalkan keaslian makanan warisan ini.
“Di JWN, kami telah menerbitkan buku-buku khusus mengenai makanan warisan yang mengekalkan kaedah dan resipi asli supaya masyarakat mengenali makanan warisan yang tulen,” katanya dalam sidang media program Budaya Sarapan Malaysia: Sarapan Negeri Warisan Negara di sini hari ini.
[caption id="attachment_683571" align="alignnone" width="948"] Orang ramai membeli makanan yang terdapat di Pasar Saloma sempena program Perkampungan Kebudayaan Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Meskipun inovasi dalam makanan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sering didorong oleh permintaan pengguna serta pasaran, beliau berkata JWN juga sentiasa memastikan program-program yang dijalankan oleh agensi itu menggunakan juadah warisan dengan resipi yang asli.
Mohamad Muda turut mengingatkan pengguna untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang tular di media sosial, terutamanya juadah warisan yang mungkin telah mengalami perubahan dengan penambahan bahan atau perisa sekali gus mengubah rasa dan nilai tradisionalnya.
“Bagi peminat makanan warisan, adalah penting untuk mengetahui mana satu yang asli dan mana satu yang telah diubah. Kami, di JWN sentiasa berusaha memastikan makanan warisan negara tetap kekal dalam bentuk yang tulen,” katanya.
- BERNAMA