AGENDA

Gas ammonia bocor: Empat pekerja kilang melecur, tiga lagi sesak nafas

24 Jan 2025, 11:55 AM
Gas ammonia bocor: Empat pekerja kilang melecur, tiga lagi sesak nafas

SHAH ALAM, 24 JAN: Empat lelaki melecur dan tiga wanita mengalami sesak nafas akibat terdedah kepada gas ammonia selepas berlaku kebocoran injap saluran gas di sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mangsa yang melecur dibawa ke hospital oleh pengurusan kilang sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.17 tengah hari dan menggerakkan 16 anggota berserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Response Vehicle (FRV) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran pada injap saluran gas ammonia dan tiga pekerja wanita dikesan mengalami sesak nafas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata mangsa telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan masalah kebocoran diselesaikan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) pada 3.10 petang.

- BERNAMA