SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menumpukan kepada agenda kelestarian bandar sepanjang tahun ini sekali gus menjadi bandar lebih maju dan efisien.
Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata genap setahun pengisytiharan, MBDK mahu membuktikan pihaknya tidak mengejar pencapaian hasil ekonomi semata sebaliknya turut menekankan aspek alam sekitar.
“MBDK menetapkan visi sebagai bandaraya diraja sejahtera, berdaya maju dan mampan dan memberi memberi tumpuan kepada agenda kelestarian bandar.
“Visi ini memberi manfaat kepada semua. Kerjasama berpasukan menjadi kekuatan kita dalam mendepani isu perbandaran serta tuntutan kerja yang berpegang teguh pada integriti dan tanggungjawab,” katanya pada perhimpunan bulanan hari ini.
Pada 5 Februari tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada MBDK.
Sebelum itu pada Julai 2023, kerajaan persekutuan mengumumkan MPK dinaik taraf kepada bandar raya, sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan ke-20 memperoleh status berkenaan.
Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk menambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki.