ad
AGENSI

Bisnes dari rumah, penduduk tidak kisah selagi tiada kacau ganggu

24 Jan 2025, 4:46 AM
Bisnes dari rumah, penduduk tidak kisah selagi tiada kacau ganggu

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 24 JAN: Persatuan penduduk di Selangor mempunyai pandangan berbeza mengenai perniagaan berpusat di rumah terutama kedai makan dan kafe, yang semakin berkembang sejak Covid-19.

Walaupun operasi berasaskan rumah merupakan titik permulaan yang praktikal bagi ramai usahawan untuk membina modal dan kepercayaan jenama, kehadiran mereka boleh membawa kebaikan atau beban.

Menggunakan media sosial bagi mempromosi estetika dan keunikan menu, perniagaan itu menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap isu parkir, kawalan keselamatan dan privasi mereka.

Bercakap kepada Media Selangor, Pengerusi Persatuan Penduduk Denai Alam Yamin Salim berkata kedai makan berasaskan rumah tidak sesuai untuk kejiranannya dan kebanyakan kawasan di Shah Alam.

“Ini kerana kebanyakan komuniti ini adalah kawasan berpagar dan berpengawal, di mana penduduk tempatan mengutamakan keselamatan serta privasi,” jelasnya.

“Kami lebih suka mengawal orang yang keluar masuk komuniti kami. Tambahan pula, (kawasan berpagar) boleh menghalang pelanggan daripada melawat kafe kerana ia menyusahkan.”

Meskipun tidak menentang orang ramai mencari rezeki, Yamin menekankan kepentingan menjaga keharmonian kejiranan apabila menjalankan perniagaan sedemikian.

Beliau juga percaya kedai makan yang beroperasi dari rumah lebih sesuai dijalankan di kawasan yang kurang padat, dengan komuniti setempat lebih bertolak ansur.

Pada 16 Januari, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata negeri sedang mempertimbang untuk menyelaras garis panduan perniagaan kategori itu berikutan jumlahnya yang kian meningkat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk USJ 9 Anthony Gunapalan berkata beliau tidak menentang perniagaan berasaskan rumah selagi ia tidak mengganggu keharmonian kejiranan.

Beliau menambah terdapat beberapa perniagaan kategori itu dalam kawasan berpagar di tempat dihuninya, dan tiada kesan besar atau buruk setakat ini.

“Selagi perniagaan ini tidak mengganggu kejiranan, ia tidak menjadi masalah. Tetapi jika terdapat gangguan, sesuatu perlu dilakukan,” katanya.

“Sebagai contoh, jika mereka beroperasi pada waktu yang tidak sesuai, membuat bising, dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, maka ia menjadi satu kebimbangan.”

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.