ad
AGENDA

Polis rakam keterangan Harith Iskander isu jenaka 'ham' di Facebook

24 Jan 2025, 1:08 AM
Polis rakam keterangan Harith Iskander isu jenaka 'ham' di Facebook
Polis rakam keterangan Harith Iskander isu jenaka 'ham' di Facebook

SHAH ALAM, 24 JAN: Polis merakam keterangan pelawak dan pelakon Harith Iskander Rabu lalu berhubung hantaran mengenai isu 'ham' di akaun Facebooknya, yang didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya turut mengesan identiti seorang lagi individu dikenali sebagai 'Cecelia Yap Song', dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu, lapor Berita Harian.

"Setakat ini, polis menerima 16 laporan polis berkaitan isu itu di seluruh negara," katanya seperti dilaporkan.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka setakat ini mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Harith Iskander Musa, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan sekeping gambar menunjukkan menu segelas kopi dinamakan 'ham sap kopi' berharga RM5.50.

[caption id="attachment_670594" align="alignleft" width="442"] Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA[/caption]

Pelawak itu dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi susulan sebuah kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal di sebuah pusat pengajian tinggi.

Hantaran itu turut didakwa membuka ruang mempersenda Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen yang dipercayai mengaitkan 'ham' dengan nama Nabi Muhammad SAW.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan akan memanggil Harith Iskander bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi terbabit.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata satu laporan polis turut dibuat bagi siasatan dan tindakan lanjut berikutan menimbulkan keresahan umat Islam.

Menurutnya, Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.