Oleh Danial Dzulkifly
HULU SELANGOR, 23 JAN: Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali (SHP) bukti komitmen berterusan Kerajaan Selangor mengurangkan jejak karbon dan mempromosi kelestarian, kata Dato' Menteri Besar.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, pembinaan loji dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.1 megawatt menunjukkan usaha negeri menjadi peneraju penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan mesra alam.
“Ini menunjukkan komitmen kita untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan inovasi dan lestari, memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang sesuai didiami semua,” katanya.
[caption id="attachment_683446" align="aligncenter" width="732"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak pada majlis perasmian Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali pada 23 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Berucap ketika merasmikan pelancaran loji tersebut hari ini, beliau berkata SHP Batang Kali menandakan permulaan usaha meluas untuk memajukan tenaga boleh diperbaharui di Selangor.
Beliau menambah pentadbiran negeri menerusi Worldwide Holdings Bhd juga meneroka potensi sungai lain untuk memperluas kapasiti loji hidro kecil, sambil memenuhi keperluan tenaga negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata loji yang siap dibina setahun lebih awal hasil dedikasi pasukan terhadap isu kelestarian.
[caption id="attachment_683447" align="aligncenter" width="760"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali pada 23 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Loji ini dijangka memanfaatkan kira-kira 13,000 isi rumah. Ia menunjukkan komitmen kami untuk memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dapat dilaksanakan dengan cekap,” katanya.
Dibina atas tapak seluas 3.5 ekar di Hulu Selangor, loji ini berjaya menamatkan ujian dan disambungkan kepada grid 33 kilovolt yang diuruskan Tenaga Nasional Bhd pada 23 Disember 2024.
Sebelum ini, Amirudin berkata Selangor bersedia menyumbang antara satu hingga 1.5 gigawatt tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong bekalan elektrik negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Worldwide Holdings terlibat dalam 10 projek perintis bernilai RM10 bilion, kebanyakannya tertumpu pada teknologi hijau termasuk tenaga solar, loji hidro kecil, dan pengeluaran hidrogen.


