Oleh Amirahwani Rahimi
KLANG, 21 JAN: Bacaan kualiti udara di kawasan sekitar kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di Taman Perindustrian Kapar Indah yang meletup semalam, didapati normal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata dalam premis tersebut masih terdapat bau namun tidak memberi kesan kepada pernafasan.
"Saya menganggarkan kilang tersebut mengalami kemusnahan 50 peratus melibatkan runtuhan pada bahagian hadapan premis.
"Menurut pemilik kilang, dua daripada pekerjanya cedera akibat sesak nafas dan terjatuh," katanya kepada Media Selangor.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula terbakar sehingga berlaku beberapa letupan. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


