Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 17 JAN: Belia Malaysia menyuarakan kebimbangan cadangan menaikkan had umur persaraan boleh mengehadkan peluang pekerjaan golongan itu, selain mewujudkan persaingan tidak adil.
Bekas presiden perwakilan pelajar Universiti Malaysia Sabah berkata kerajaan perlu memberi kepercayaan kepada belia dan berusaha mendekatkan mereka kepada pasaran kerja tempatan.
Menurut Jeeva Cassandra Abdul Mumin, peningkatan tenaga kerja merentas pelbagai demografi boleh mewujudkan peluang untuk kerjasama antara individu berpengalaman dan anak muda.
“Apabila pekerja berpengalaman kekal dalam tenaga kerja lebih lama, majikan mungkin cenderung memilih mereka berbanding belia yang kurang pengalaman.
[caption id="attachment_673696" align="aligncenter" width="778"] Ahli PeBS menunjukkan watikah yang diterima selepas majlis penyerahan watikah Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 28 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Ini boleh menyebabkan persaingan tidak seimbang dalam sektor pekerjaan. Kerajaan perlu percaya keupayaan belia kerana mereka dilatih untuk memenuhi permintaan industri semasa,” katanya.
Beliau mengulas cadangan terkini ahli ekonomi Bank Dunia yang mencadangkan Malaysia menaikkan umur persaraan 60 tahun untuk melibatkan lebih ramai warga emas dalam tenaga kerja.
Seorang lagi bekas presiden perwakilan pelajar berpendapat kerajaan perlu memperkenal beberapa langkah termasuk program subsidi pengambilan pekerja dan latihan untuk bakal graduan.
"Ini bagi memastikan mereka dapat memasuki pasaran kerja sambil mendapat manfaat dan panduan daripada golongan berpengalaman," kata Muhammad Hisyamuddin Sazali.
Sebelum ini, EXCO pembangunan wanita berkata Selangor bakal memperkenal pelan kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusif untuk mempromosi kesaksamaan gender dalam amalan pengambilan pekerja.
Anfaal Saari menjelaskan inisiatif dengan kerjasama swasta itu bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja golongan wanita daripada 53 kepada 60 peratus menjelang 2030.
Turut ditekankan Rancangan Wanita Selangor 2024-2026, yang menggariskan strategi berdepan negeri menua, antaranya mewujudkan Platform Pekerjaan Warga Emas Selangor bermula tahun lalu.