ad
AGENSI

Sekretariat SUKMA Selangor 2026 cadang pertandingan cipta logo, maskot, lagu

18 Jan 2025, 2:30 PM
Sekretariat SUKMA Selangor 2026 cadang pertandingan cipta logo, maskot, lagu

SHAH ALAM, 18 JAN: Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bercadang mengadakan pertandingan mencipta logo, maskot dan lagu temasya dwitahunan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata pihak penganjur sedang mengenal pasti elemen tersebut untuk menyemarakkan lagi penganjuran edisi ke-22 pada tahun depan.

“Untuk persiapan awal kita juga dalam proses untuk mengenal pasti konsep. Contohnya, konsep bagi logo, lagu dan maskot SUKMA 2026.

“Itu sangat penting dan bila ada satu temasya besar akan ada perkara-perkara yang melibatkan elemen berkenaan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan SelangorTV.

Mohd Yazid menambah promosi SUKMA 2026 dibuat di pelbagai peringkat termasuk platform Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sedar bahawa sukan satu industri yang sangat besar, bernilai bilion ringgit. Selangor tidak mahu melepaskan peluang menjana ekonomi dengan penganjuran temasya sukan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Kebetulan tahun ini 2025 jadi kita akan sertakan promosi penganjuran SUKMA dengan aktiviti dan program yang telah dirancang bersempena TMS2025.

“Kita akan turut mendapatkan kerjasama PBT yang ada kemudahan pengiklanan termasuk papan iklan LED (diod pemancar cahaya) selain kerjasama dengan agensi kerajaan untuk hebahan dalam program mereka,” katanya.

Menurut Mohd Yazid, selain Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), pihaknya akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi menambah bilangan sukarelawan sepanjang temasya berlangsung.

“Saya percaya apabila kita libatkan pelajar IPT, sebenarnya ia akan membantu pelajar tersebut dari segi kemahiran komunikasi dengan penyertaan dalam SUKMA ini,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sukarelawan antara elemen penting dalam penganjuran SUKMA 2026 dengan sekurang-kurangnya 7,000 sukarelawan diperlukan bagi memastikan kelancaran temasya itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran menganggar kos lebih RM150 juta diperuntuk bagi menganjur temasya sukan dwitahunan itu selain penggunaan 90 peratus infrastruktur di Selangor. Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.