SHAH ALAM, 17 JAN: Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM22,400 menanti peserta Fiesta Joran Selangor 2025 yang bakal berlangsung pada 9 Februari depan.
Menurut Tourism Selangor, program di Fraser Valley, Tasik Utamasari, Hulu Selangor itu dijadual bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
“Yuran pendaftaran sebanyak RM50 (satu joran, dua mata kail) akan dikenakan selain pemberian baju-T eksklusif untuk 500 pendaftaran terawal.
“Juara akan membawa pulang wang tunai RM8,000, naib juara menerima RM2,000 dan ketiga RM1,000.
“Bagi pemenang keempat hingga ke-10 pula menerima RM200, ke-11 hingga ke-30 (RM150) dan ke-31 hingga ke-100 (RM100),” katanya.
Menurutnya acara itu turut menawarkan 20 hadiah cabutan bertuah bagi menyerikan majlis. Maklumat lanjut, hubungi talian 013-2667011, 012-2846811 atau 012-3554946.


