ad
AGENDA

LUAS, MPKj tutup paip mengalir air merah jambu dari kawasan industri Beranang

15 Jan 2025, 11:22 AM
LUAS, MPKj tutup paip mengalir air merah jambu dari kawasan industri Beranang
LUAS, MPKj tutup paip mengalir air merah jambu dari kawasan industri Beranang

SHAH ALAM, 15 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan menutup paip yang mengalirkan air berwarna merah jambu dari kawasan perindustrian Mahkota, Beranang hari ini.

LUAS berkata paip tersebut masuk ke alur buatan seterusnya mengalir ke Sungai Kabul yang menyebabkan air sungai itu bertukar warna.

"LUAS menyelaraskan tindakan bersama MPKj untuk penutupan segera paip tersebut yang belum dikenalpasti punca alirannya bagi mengurangkan risiko kepada Sungai Kabul, Sungai Beranang seterusnya Sungai Semenyih.

"LUAS juga telah meningkatkan pemantauan di lokasi berkaitan di hulu Sungai Kabul," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Semalam LUAS ketika aktiviti rondaan dan pemantauan rutin pada jam 6.40 petang di kawasan berkenaan mengesan air Sungai Kabul sepanjang 500 meter bertukar warna ke merah jambu.

[caption id="attachment_682177" align="aligncenter" width="926"] Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan kod kuning susulan insiden air Sungai Kabul, Beranang bertukar warna merah jambu pada 14 Januari 2025. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]

Berikutan itu LUAS mengaktifkan kod kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.

Siasatan mendapati pencemaran itu dipercayai berpunca dari premis kilang di kawasan perindustrian di Beranang susulan penemuan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

Susulan itu premis berkenaan diarah menghentikan dan menutup pelepasan serta merta dan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 diberikan kepada premis terbabit untuk melaksanakan pembersihan segera di lokasi dan kawasan terlibat.

Mengulas lanjut, LUAS berkata kerja pembersihan di dalam kawasan premis berkenaan sudah selesai dilaksanakan.

"Keadaan semasa di Sungai Beranang dan Sungai Semenyih terkawal dan pasukan LUAS serta agensi terlibat giat melaksanakan semakan dan pemantauan rapi di tapak," kata kenyataan itu lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.