AGENSI

Suami perlu jadi penyokong utama penyusuan ibu, kata kaunselor

14 Jan 2025, 4:14 AM
Suami perlu jadi penyokong utama penyusuan ibu, kata kaunselor

Oleh Amirahwani Rahimi

SHAH ALAM, 14 JAN: Dalam menjayakan penyusuan bayi secara eksklusif sehingga enam bulan, peranan suami sebagai penyokong utama tidak boleh diketepikan, kata kaunselor laktasi.

Menurut Nad Masrom, kesedaran dalam kalangan suami mengenai kepentingan penyusuan ibu semakin meningkat, meskipun masih ada yang menganggapnya sebagai isu taboo.

"Menerusi media sosial, golongan bapa lebih terbuka menghadiri seminar penyusuan dan kelahiran. Sangat penting ada kesedaran ini kerana bapa pembantu penyusuan nombor satu," katanya dalam temu bual khas bersama Media Selangor, baru-baru ini.

Bersetuju dengan kenyataan itu, pempengaruh Mad Noor berpendapat sokongan suami bukan sahaja membantu ibu, tetapi menghapuskan stigma terhadap penyusuan ibu di khalayak umum.

“Stigma terhadap golongan ibu yang menyusu dapat dihentikan apabila golongan suami mendapat pendedahan dan ilmu penyusuan yang meluas.

"Penyusuan bayi adalah sama seperti sesi makan seperti golongan dewasa dan tidak sepatutnya menjadi isu pemilihan lokasi bagi penyusuan susu ibu,” jelasnya.