AGENDA

Pengarca hasil rekaan lambang kemakmuran di Bandar Elmina

12 Jan 2025, 11:50 AM
Pengarca hasil rekaan lambang kemakmuran di Bandar Elmina
Pengarca hasil rekaan lambang kemakmuran di Bandar Elmina

Oleh Ufairah Tarmidzi

SUNGAI BULOH, 12 JAN: Kemakmuran rakyat berlainan agama dan bangsa yang saling menghormati memberi ilham kepada seorang pengarca menghasilkan sebuah rekaan unik di Bandar Elmina.

Menurut Abdul Multhalib Musa, 49, The Wealthy Horizons yang dihasilkan daripada logam corten yang sering digunakan dalam pembinaan kapal dan kontena barang menjadi bahan utama arca kerana sifatnya tahan cuaca dan karat.

"Karya yang menggunakan keluli corten yang biasa digunakan untuk kapal dan kontena barang ini melambangkan kemakmuran rakyat Malaysia.

[caption id="attachment_681737" align="alignleft" width="345"] Abdul Multhalib Musa[/caption]

"Sifat keluli corten yang tahan cuaca sangat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan utama dalam karya ini meski pun ia akan berkarat, namun ia akan menghasilkan warna yang menarik", katanya.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dari University of Adelaide, Australia itu turut mengakui merasa bertuah kerana diberi peluang merealisasikan ilham yang mencabar dan unik.

Abdul Multhalib berkata beliau mengambil masa lebih setahun memikirkan idea dan konsep arca yang kelihatan seakan-akan pintu gerbang manakala pemasangannya memerlukan masa empat bulan.

"Karya tersebut bukan sahaja mencerminkan kreativiti seni, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat untuk memainkan peranan dalam pembangunan Bandar Elmina,"katanya.

Untuk rekod, The Wealthy Horizons turut dipamerkan dalam pameran sulung Elmina Outdoor Sculpture Museum (EOSM) yang menjadi platform menghubungkan seni, komuniti dan kemajuan selain mempromosikan artis kontemporari terbaik Malaysia di peringkat antarabangsa.

[embed]https://youtu.be/eRKYjjYsch4[/embed]