AGENDA

Institusi masjid identiti negara, keputusan buat semula video TMM 2026 tepat

10 Jan 2025, 4:24 AM
Institusi masjid identiti negara, keputusan buat semula video TMM 2026 tepat
Institusi masjid identiti negara, keputusan buat semula video TMM 2026 tepat

SHAH ALAM, 10 JAN: Tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah wajar serta tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata ia mengambil kira latar belakang Perlembagaan meletakkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

[caption id="attachment_681423" align="alignleft" width="404"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Jelas Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, selain kemajmukan masyarakat di Malaysia, institusi masjid dan surau menjadi imej serta identiti tonggak kepada Malaysia.

"Usaha-usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan Madani yang sedang dilaksanakan dengan penuh giat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah.

"Usaha pengukuhan Islam ini telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata semua pihak adalah diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara.

Semalam Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing berkata video TMM 2026 yang dipertikaikan kerana tidak memasukkan elemen masjid akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri.