SHAH ALAM, 10 JAN : Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyeru sumbangan orang ramai untuk merealisasikan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah.
Pengurus besar Yide berkata anggaran kos keseluruhan pembangunan adalah sebanyak RM17 juta dengan sumbangan terkumpul adalah RM10.3 juta setakat 31 Disember 2024.
Maklum Nur Mohd Razali Abdullah, orang ramai boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/.
“Kita menyeru sumbangan ramai untuk terus infak wang dan harta ke tabung pembinaan ini bagi memastikan kompleks anak yatim dapat siap seperti yang dijangka iaitu pada 29 Januari 2026.
“Insya-Allah, kompleks ini kita akan menempatkan sekitar 200 anak yatim dengan fasiliti lengkap dan kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna , pusat komersial dan gelanggang permainan,” katanya kepada Selangorkini.
Mengulas kemajuan projek setakat ini, Nur Mohd Razali berkata ia sudah mencapai 57 peratus selain berharap sumbangan dapat terus dibuat supaya kompleks tersebut dapat siap segera.
Yide merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim dan bantuan musibah kepada masyarakat Islam di Selangor.