SHAH ALAM, 9 JAN: Chua Yee Ling dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (KPE) Tourism Selangor yang baharu berkuat-kuasa serta merta, maklum agensi itu menerusi kenyataan.
Mantan ahli dewan negeri Kuala Sepetang Perak itu menggantikan Azrul Shah Mohamad, yang berkhidmat sebagai KPE Tourism Selangor selama lima tahun sejak Januari 2020.
“Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan kakitangan Tourism Selangor amat mengalu-alukan KPE baharu, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran selama 17 tahun merentasi pelbagai industri dan memiliki kepakaran serta kredibiliti yang dapat menyumbang kepada agensi.
“Kerjasama ini diharap dapat memacu industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.
Berdasarkan rekod, Chua pernah berkhidmat sebagai pengurus Pembangunan Industri dan Jaringan Perniagaan di Tourism Selangor selama empat tahun berturut-turut.
Sebelum menyertai Tourism Selangor, beliau memegang beberapa peranan penting dalam kerajaan termasuk pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Dengan rekod cemerlang beliau merentasi sektor awam dan swasta, Tourism Selangor yakin KPE baharu ini akan mengukuhkan kerjasama antara agensi itu dan Kerajaan Negeri,” katanya.