SHAH ALAM, 8 JAN: Tawaran pinjaman pelajaran Yayasan Selangor (YS) kepada bekas pelajar tajaannya akan berakhir hari ini.
Permohonan terbuka kepada bekas pelajar peringkat menengah di bawah program Rancangan Khas Pendidikan YS (RKPYS), Program Pelajar Berprestasi tinggi (HIPERS), Program Tingkatan Enam (PTEYS) dan RKPYS anak kakitangan.
Agensi itu memaklumkan penuntut yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor serta institut pengajian tinggi awam tempatan juga layak memohon.
“Syarat kelayakan pemohon ialah umur tidak melebihi 30 tahun, warganegara Malaysia dan pemohon serta ibu atau bapa lahir di Selangor atau Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.
“Pemohon yang bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di Selangor juga layak memohon namun keutamaan diberi kepada yang lahir di negeri ini,” maklum agensi itu menerusi Facebook.
Syarat kelayakan lain ialah pemohon tidak menerima sebarang tajaan atau bantuan kewangan organisasi dalam atau luar negara manakala pendapatan keluarga tidak melebihi RM3,000 sebulan.
“Pemohon perlu melampirkan salinan Sijil Anak Yayasan sebagai bukti pernah menerima tajaan,” katanya.
Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang Sistem Pembiayaan Pendidikan Negeri Selangor https://edanapendidikan.selangor.gov.my/login.