SHAH ALAM, 7 JAN: Seramai 38 orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal lumpuh otak menerima bantuan termasuk pinjaman peralatan sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu.
EXCO kebajikan masyarakat berkata bantuan berkenaan disalurkan menerusi inisiatif Unit Penjagaan Cerebral Palsy (CPCU) membabitkan dana hampir RM10,000 bertujuan meringankan beban keluarga.
[caption id="attachment_651868" align="aligncenter" width="748"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika sidang media insentif MamaKerja di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Pelaksanaan skim ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu latihan pemerkasaan penjagaan anak lumpuh otak, perkhidmatan pinjaman peralatan serta perkhidmatan rawatan.
“Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan dasar khas ekonomi penjagaan dan projek khas ini,” kata Anfaal Saari menerusi laporan tahunan portfolionya di Facebook.
Pada Julai tahun lalu, Anfaal melancarkan CPCU menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Menurutnya program tercetus apabila melihat kepayahan ibu bapa menjaga dan membesarkan anak istimewa itu tanpa bantuan khusus daripada mana-mana pihak.