GOMBAK, 31 MEI: Seramai 20 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) menerima plak pengiktirafan sebagai tanda berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu majlis di Taska An-Naurah, Selayang Baru di sini, semalam.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menasihatkan pengusaha agar menampal plak pengiktirafan tersebut di lokasi mudah dilihat bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke taska berdaftar.
“Plak ini berfungsi sebagai advokasi dan memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa taska ini didaftarkan dengan JKM.
“Kerajaan Negeri bersama JKM juga komited untuk meneruskan operasi pemutihan taska tidak berdaftar,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di majlis berkenaan.
[caption id="attachment_703569" align="aligncenter" width="782"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah, duduk) bergambar bersama penerima plak tadika berdaftar JKM pada program ziarah kebajikan di Taska An Naurah, Selayang Baru, Gombak pada 30 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Anfaal memberitahu pihaknya kini sedang mengenal pasti langkah untuk menyeragamkan piawaian dan menyediakan garis panduan bagi memudahkan pengusaha taska mendaftar secara sah.
“Terdapat pengusaha yang belum mendaftar kerana kurang jelas atau faham tentang piawaian operasi yang sah. Oleh itu, kami akan berusaha menyediakan garis panduan yang memudahkan mereka berdaftar,” jelas beliau.
April lalu, Anfaal memaklumkan lebih 1,000 pusat jagaan dan taska di seluruh Selangor telah berdaftar dengan JKM setakat November 2024.
[caption id="attachment_703580" align="aligncenter" width="814"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah) meninjau persekitaran Taska An-Naurah, Selayang Baru, Gombak sempena program Ziarah Kebajikan pada 30 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR[/caption]