KUALA LANGAT, 7 JAN: Pelan Rancangan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) dijadual siap menjelang hujung tahun ini sekali gus merealisasi bandar metropolitan pertama negara.
Ketua Pejabat Urusetia Sementara SGKV Dato’ Puasa Md Taib berkata pelan yang akan digunakan sehingga tempoh 2035 itu akan menjadi model pentadbiran metropolitan merangkumi Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
"Pelan pembangunan ini kita jangka disiapkan pada Oktober atau selewatnya hujung tahun ini. Kita hendak tunjukkan kepada masyarakat bahawa SGKV yang dibentuk dapat melaksana projek-projek yang menjadikan Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya sebagai bandar raya terancang.
“Usaha ini akan melonjak ekonomi Selangor serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dari semasa ke semasa,” katanya.
Berucap pada bengkel libat urus penyelarasan dan penyeragaman amalan terbaik PBT semalam, beliau memaklumkan pelan pembangunan itu boleh digunakan sehingga 2035 tetapi boleh berubah mengikut keperluan semasa.
[caption id="attachment_680958" align="aligncenter" width="688"] Ketua Pejabat Urusetia Sementara Selangor Greater Klang Valley (SGKV) Dato’ Puasa Md Taib berucap ketika Bengkel Libat Urus Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan terbaik PBT di Amverton Cove Golf and Island Resort pada 6 January 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancang Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) TPr Yusrina Mohamad Yusof berkata menerusi bengkel itu, pihaknya berkongsi berkaitan proses pelan-pelan pembangunan menerusi sistem laluan pantas.
“Kita telah melaksanan sistem ini sejak menjadi perbandaran lagi pada 2022 dan dikemas kini jika memerlukan. Sejak dilaksana, kita dapat meluluskan kebenaran merancang kilang tanpa kebenaran lebih 600 berbanding sedia ada 1,300.
“MBDK tidak kisah berkongsi pelaksanaan sistem ini kepada semua pihak berkuasa tempatan yang ada kerana ia memudahkan dan mempercepatkan proses,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar berkata empat bandar raya yang digabung menjadi Lembah Klang Raya mampu bersaing dan dibanding dengan kota utama Asia menerusi penyediaan kualiti infrastruktur fizikal dan digital.
Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.