SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sijil patuh syariah.
Pengarah korporat dan perhubungan awamnya Mohd Azhar Mohd Sharif berkata MBSA memperoleh Sijil Pematuhan Syariah Ke Atas Organisasi melalui saringan penyata kewangan 2023.
“Saringan pensijilan syariah ini telah dilaksanakan oleh Salihin Shariah Advisory Sdn Bhd iaitu penasihat syariah yang berkelayakan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Skop pemeriksaan pensijilan syariah ini telah meliputi saringan seperti perkhidmatan, nisbah kewangan, aspek etika dan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Azhar menambah, pengiktirafan itu bertujuan meningkatkan keyakinan pemegang taruh MBSA berkaitan sumber pendapatan dan perbelanjaan yang dilaksanakan sepanjang 2023.
Menyifatkan ia sebagai kejayaan membanggakan, katanya, pencapaian berkenaan membuktikan komitmen berterusan MBSA dalam melaksana prinsip syariah kepada masyarakat.
“MBSA akan terus berusaha untuk mengekalkan hala tuju sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus, sosial dan persekitaran selaras dengan konsep maqasid al syariah,” katanya.