ad
AGENDA

Mahkamah Tinggi tolak merit semakan kehakiman Mentega Terbang

6 Jan 2025, 4:45 AM
Mahkamah Tinggi tolak merit semakan kehakiman Mentega Terbang
Mahkamah Tinggi tolak merit semakan kehakiman Mentega Terbang

SHAH ALAM, 6 JAN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak merit semakan kehakiman oleh pengarah dan penerbit Mentega Terbang terhadap larangan tayangan dan publisiti filem itu.

Peguam N Surendran ketika dihubungi Media Selangor memaklumkan Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan perkara tersebut selepas menilai hujahan kedua-dua pihak.

“Tiada alasan dibacakan Hakim ketika prosiding hari ini, namun kita akan failkan ke mahkamah rayuan dalam tempoh terdekat. Hakim turut menolak permohonan pihak pendakwaan bagi bayaran kos sebanyak RM10,000,” katanya.

[caption id="attachment_680875" align="alignleft" width="451"] Peguam N Surendran bercakap kepada wartawan selepas keputusan semakan larangan tayangan dan publisiti filem Mentega Terbang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 6 Januari 2025. Zulfadhli Zaki/Media Selangor[/caption]

Pada 31 Januari tahun lalu, mahkamah membenarkan pengarah filem itu Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan penerbit Tan Meng Kheng, 38, memulakan semakan kehakiman bagi mencabar larangan kerajaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember tahun lepas, kedua-duanya mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023.

Januari tahun lalu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem itu.

Mentega Terbang yang ditayang menerusi platform penstriman video, mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan berunsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.