ad
AGENSI

Yayasan Selangor: Tarikh tutup tawaran pinjaman pelajaran dilanjut hingga 8 Januari

6 Jan 2025, 12:00 AM
Yayasan Selangor: Tarikh tutup tawaran pinjaman pelajaran dilanjut hingga 8 Januari

SHAH ALAM, 6 JAN: Tarikh tutup tawaran pinjaman pengajian Yayasan Selangor (YS) kepada bekas pelajar tajaannya dilanjutkan hingga 8 Januari ini.

Agensi itu memaklumkan permohonan terbuka kepada bekas pelajar peringkat menengah di bawah program Rancangan Khas Pendidikan YS (RKPYS), Program Pelajar Berprestasi tinggi (HIPERS), Program Tingkatan Enam (PTEYS) dan RKPYS anak kakitangan.

Penuntut yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor dan institut pengajian tinggi awam tempatan juga layak memohon.

“Syarat kelayakan pemohon ialah umur tidak melebihi 30 tahun, warganegara Malaysia dan pemohon serta ibu atau bapa lahir di Selangor atau Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.

“Pemohon yang bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di Selangor juga layak memohon namun keutamaan diberi kepada yang lahir di negeri ini,” maklum agensi itu di Facebook.

Syarat kelayakan lain ialah pemohon tidak menerima sebarang tajaan atau bantuan kewangan organisasi dalam atau luar negara manakala pendapatan keluarga tidak melebihi RM3,000 sebulan.

“Pemohon perlu melampirkan salinan Sijil Anak Yayasan sebagai bukti pernah menerima tajaan,” katanya.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang Sistem Pembiayaan Pendidikan Negeri Selangor https://edanapendidikan.selangor.gov.my/login.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.