ad
AGENDA

Rim besi dipercayai milik tayar lori punca kemalangan ditemui

5 Jan 2025, 12:32 AM
Rim besi dipercayai milik tayar lori punca kemalangan ditemui

ALOR GAJAH, 5 JAN: Polis menemukan komponen rim besi dipercayai tayar lori yang menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata komponen itu dikenal pasti semalam di Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor.

"Rim besi itu diserahkan subkontraktor Propel (Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad) kepada polis, dan satu laporan rampasan telah dibuat. Komponen tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa polis giat mengesan tayar yang dipercayai menjadi punca kemalangan berkenaan.

Dalam kejadian itu, tujuh maut 33 cedera kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya Plus arah utara.

Siasatan awal mendapati, bas persiaran itu melanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah, menyebabkan bas itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.

Kejadian itu mengakibatkan lima penumpang MPV serta pemandu dan seorang penumpang bas berkenaan meninggal dunia.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.