BERITA UTAMA

Lokasi utama SUKMA Selangor diumum April, hasrat libat semua daerah

4 Jan 2025, 11:07 AM
Lokasi utama SUKMA Selangor diumum April, hasrat libat semua daerah
Lokasi utama SUKMA Selangor diumum April, hasrat libat semua daerah

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri mengambil pendirian terbuka dalam pemilihan lokasi utama Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, termasuk cadangan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan Litar Antarabangsa Sepang.

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi berkata pihaknya masih belum membuat sebarang ketetapan, mengatakan pengumuman rasmi dijangka dibuat selewat-lewatnya April depan.

“Minggu depan penubuhan jawatankuasa sekretariat SUKMA dan selepas itu kita akan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) di semua negeri.

“Bulan Mac atau April nanti kita akan umumkan. Kita tidak tolak kemungkinan Litar Antarabangsa Sepang atau Stadium Merdeka. Opsyen masih terbuka,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Karnival Jelajah Belia Madani peringkat Kuala Selangor di Pantai Remis di sini, yang dihadiri Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

[caption id="attachment_680672" align="alignnone" width="782"] EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi bersama peserta larian santai ketika program Jelajah Belia Madani Selangor Peringkat Kuala Selangor di Pantai Remis, Kuala Selangor pada 4 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Najwan berhasrat acara SUKMA dapat dianjurkan di seluruh daerah bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tertakluk kepada kemampuan daerah tersebut khususnya daripada segi penyediaan kemudahan sukan dan penginapan atlet.

“Perancangan kita untuk libatkan semua daerah supaya limpahannya dapat dinikmati masyarakat sekeliling kerana ini juga sebahagian daripada pelancongan sukan,” katanya.

Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.