KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 53 pendatang tanpa izin dalam operasi Op Kutip di kawasan sekitar sebuah pusat beli-belah di Ampang, Selangor, malam tadi.
Pengarah Imigresen Selangor Khairul Aminus Kamaruddin berkata semua yang ditahan terdiri daripada 33 lelaki dan 20 wanita dari Indonesia, Afghanistan, India, Nepal, Australia, Filipina, Myanmar, Sweden, Tanzania, Morocco, Somalia, Nigeria, Bangladesh dan Pakistan.
“Mereka berumur 14 hingga 65 tahun dan disyaki tidak mempunyai dokumen sah serta mematuhi syarat untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ketika pemeriksaan terdapat warga asing bertindak agresif dengan memberi pelbagai alasan malah, ada berpura-pura pengsan bagi mengelak ditahan.
“Seramai 141 individu diperiksa dalam serbuan yang bermula 7.30 malam oleh 35 petugas Imigresen Selangor,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
- BERNAMA