NIBONG TEBAL, 2 JAN: Kanak-kanak perempuan maut selepas didakwa tersepit meja lipat di rumahnya di Taman Seri Putera di sini, semalam.
Mangsa yang berusia enam tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak.
Kejadian berlaku 4.15 petang Ketika kanak-kanak itu dikatakan bermain seorang diri di bahagian belakang rumah manakala ibu dan adik-beradik mangsa berada dalam rumah.
Ibu mangsa didakwa meminta bantuan jiran untuk membawanya ke hospital selepas menyedari kejadian tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Sementara itu, laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat pembengkakan otak disebabkan kekurangan oksigen, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim.
Beliau berkata setakat ini tiada unsur jenayah namun siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
"Mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia 12.30 tengah malam tadi dan bedah siasat dilakukan di hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak perempuan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di belakang rumahnya di Taman Seri Putera di sini semalam.
Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa sedang bermain seorang diri.
- BERNAMA