AGENSI

Jualan Ehsan Rahmah kembali 13 Januari, jenis barangan asas ditambah

2 Jan 2025, 4:02 AM
Jualan Ehsan Rahmah kembali 13 Januari, jenis barangan asas ditambah

SHAH ALAM, 2 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk tahun ini akan kembali menjelajah ke serata negeri mulai 13 Januari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan inisiatif jualan murah barangan asas itu berhenti selama 12 hari mulai semalam untuk proses penyenggaraan kenderaan dan gudang.

“JER akan berehat seketika pada 1 hingga 12 Januari sempena hari pelepasan am sambutan tahun baharu dan tempoh selenggara kenderaan serta gudang,” katanya di Facebook.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim sebelum ini memaklumkan JER yang menjual enam produk utama keperluan penduduk bakal bertambah kepada 12 jenis produk mulai tahun ini.

Ir Izham berkata penambahbaikan yang bukan tertumpu kepada produk makanan sahaja bertujuan memudahkan akses penduduk mendapat barangan keperluan sekali gus meringankan beban belanja.

Belanjawan 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER, sekaligus membuktikan komitmen pentadbiran Negeri membantu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri turut mensasarkan pembukaan 10 premis Pasar Raya Ehsan Mart di seluruh negeri, menjelang akhir tahun ini.

Ehsan Mart adalah pasar raya milik Kerajaan Negeri yang dikendalikan PKPS dan menawarkan barangan asas pada harga 10 peratus hingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.