SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai dua orang daripada 73,899 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini menduduki peperiksaan berkenaan di penjara, maklum Jabatan Pendidikan Selangor.
Pengarahnya Dr Jafri Abu berkata 25 calon turut mengambil peperiksaan bertulis itu di hospital dalam tempoh bermula hari ini sehingga 6 Februari, lapor portal Berita Harian.
"Kita mempunyai seramai 7,651 petugas peperiksaan membabitkan 5,102 guru dan 872 sukarelawan," katanya menambah sebanyak 494 pusat peperiksaan dibuka sepanjang SPM berlangsung.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan semua pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri bebas banjir, namun pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Setakat ini di Selangor semua dalam keadaan baik, tiada sekolah atau pusat peperiksaan yang terbabit dengan banjir dan tidak berada dalam kawasan berisiko banjir," katanya lagi.
Lebih 400,000 calon SPM 2024 mendaftar bagi menduduki ujian bertulis di 3,000 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini.