SHAH ALAM, 2 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) membantu seramai 2,806 usahawan menerusi pembiayaan berjumlah RM55 juta dari Januari hingga November 2024
Agensi itu memaklumkan bantuan modal tambahan antara usaha berterusan untuk mengembangkan perniagaan sekali gus memperkasakan ekonomi usahawan di negeri ini.
"Ingin tahu lebih lanjut mengenai skim pembiayaan Hijrah Selangor? Hubungi kami di Facebook atau Instagram, atau layari www.hijrahselangor.com hari ini," katanya di Facebook.
Skim i-Bisnes dan Niaga Darul Ehsan (NaDi) menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada usahawan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan atau menambah modal pusingan.
Hijrah Selangor turut menawarkan pembiayaan khas RM3,000 kepada peserta Platform Selangor (U-PLATS).
Pada 11 September tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor sekali gus membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Mearia juga memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun lepas.



