AGENDA

PBB kecam tindakan Israel serang hospital di Gaza, sekat bantuan kemanusiaan

2 Jan 2025, 12:30 AM
PBB kecam tindakan Israel serang hospital di Gaza, sekat bantuan kemanusiaan

HAMILTON, 2 JAN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan hospital di Gaza, termasuk Hospital Kamal Adwan yang kini tidak lagi berfungsi, lapor Agensi Anadolu.

"Kami menegaskan pendirian kami dengan mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital.

"Kami berulang kali meminta tempat-tempat ini dihormati sebagai kawasan selamat di mana orang ramai mendapatkan bantuan perubatan," kata jurucakap bersekutu kepada ketua PBB, Florencia Soto Nino, pada satu sidang media.

Ditanya mengenai penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya, di Gaza pula, Nino berkata: "Mana-mana individu yang merupakan orang awam tidak bersalah serta berusaha membantu orang lain, tidak seharusnya ditahan."

"Saya fikir kami sudah lama membincangkan perkara ini - tiada tempat selamat di Gaza," katanya sambil memaklumkan bahawa PBB bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong usaha memastikan keselamatan orang awam, termasuk pengarah hospital itu.

Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Nino berkata, seramai 10 pesakit dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan tetapi empat daripada mereka ditahan oleh pasukan Israel di pusat pemeriksaan ketika meninggalkan kawasan itu.

"Tujuh pesakit bersama 15 penjaga dan petugas kesihatan masih berada di hospital terbabit yang kini mengalami kerosakan teruk serta tidak lagi mampu menyediakan rawatan perubatan.

"Pasukan kami turut melaporkan hospital itu kini tiada bekalan air, elektrik dan kemudahan sanitasi," katanya.

Nino berkata, sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan terus berlanjutan menyebabkan operasi bantuan lumpuh ketika penduduk amat memerlukan makanan, tempat perlindungan dan pakaian, terutama pada musim sejuk yang memburukkan lagi keadaan mereka.

"OCHA hari ini memberi amaran bahawa segala keperluan asas untuk kelangsungan hidup penduduk sedang dimusnahkan.

"Ini termasuk serangan ke atas perkhidmatan kesihatan, kecemasan dan akses kemanusiaan, selain serangan tanpa henti yang membunuh serta mencederakan orang awam setiap jam," katanya.

BERNAMA-AA