SHAH ALAM, 2 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan jualan promosi sempena pembukaan cawangan Ehsan Mart di Pandan Utama, hari ini.
Agensi memaklumkan pasar raya di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah itu menawarkan barangan dapur dengan harga berpatutan.
“Istimewa sempena pembukaan pasar raya Ehsan Mart kedua di Pandan Utama pada Khamis, jom dapatkan barangan keperluan berikut dari 2 hingga 4 Januari ini,” maklum agensi itu di Facebook.
Pada 8 September, PKPS melancarkan cawangan Ehsan Mart pertama di Dataran Selayang, Batu Caves yang menawarkan harga barangan asas sehingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran luar. Pasar raya itu bakal diperluas di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ehsan Mart diwujudkan sebagai penambahbaikan program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menyasarkan pembukaannya di 56 kawasan DUN menjelang 2027.
Selain itu, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.



