SHAH ALAM, 1 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan jualan promosi sempena pembukaan Ehsan Mart cawangan Pandan Utama esok.
Agensi menerusi Facebook memaklumkan pasar raya di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah itu menawarkan barangan dapur dengan harga berpatutan.
"Istimewa sempena pembukaan pasar Ehsan Mart kedua di Pandan Utama pada Khamis, jom dapatkan barangan keperluan berikut dari 2 hingga 4 Januari ini," tulisnya.
Sebelum ini, PKPS melancarkan pembukaan Ehsan Mart yang menawarkan barangan asas sehingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran luar.
Ehsan Mart diwujudkan sebagai penambahbaikan program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menyasarkan pembukaannya di 56 kawasan DUN menjelang 2027.
Ehsan Mart pertama di Sungai Tua dibuka pada 9 September tahun lalu diikuti Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang bagi meluaskan capaian rakyat mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan.



