ad
AGENSI

AMK: Satira bukan jenayah, tahan artis tidak sesuai dengan nilai Madani

31 Dis 2024, 10:43 AM
AMK: Satira bukan jenayah, tahan artis tidak sesuai dengan nilai Madani

SHAH ALAM, 31 DIS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyifatkan penahanan aktivis Fahmi Reza oleh polis tidak selari dengan prinsip dan nilai yang diamalkan Kerajaan Madani.

Ketua biro guaman dan undang-undangnya berkata malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan beliau tidak bersetuju Fahmi Reza ditahan atau didakwa susulan karyanya terkait pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

"Walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan mesej dibawa Fahmi melalui karya satiranya, AMK Malaysia berpendirian kritikan melalui karya seni seperti satira tidak boleh dianggap sebagai jenayah.

"Kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu dilindungi selagi mana ia tidak menyebabkan ketidaktenteraman awam," kata Asheeq Ali Sethi Alivi dalam kenyataan hari ini.

Semalam Fahmi Reza yang juga pereka grafik ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, Sabah.

Mengulas lanjut Asheeq Ali berkata pihaknya kesal dengan tindakan polis Sabah itu dan percaya seni satira adalah elemen penting dalam demokrasi matang kerana ia mencerminkan pandangan rakyat secara kreatif.

Justeru katanya, AMK Malaysia mendesak Fahmi Reza dibebaskan segera dan pihaknya sedia memberi bantuan guaman untuk membantunya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.