ad
AGENDA

Dua rakan didakwa rompak tiga individu termasuk wanita Rusia

31 Dis 2024, 7:09 AM
Dua rakan didakwa rompak tiga individu termasuk wanita Rusia

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga individu termasuk wanita warga Rusia.

Bagi pertuduhan pertama, penghantar barang Muhammad Farhan Rosli, 30, dan penganggur Mohammad Safikri Edi Warman, 29, didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap warga Rusia berusia 49 tahun membabitkan kerugian RM8,000 di Jalan Sejahtera, Wangsa Maju di sini pada 6.15 petang, 12 Dis lepas.

Mereka juga didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun, yang menyebabkan kerugian RM1,500 di Jalan Tun Razak KL City Centre pada 6.30 pagi, 14 Dis.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa merompak beg silang mengandungi pasport Amerika, wang tunai US$380 dan dua telefon bimbit milik lelaki warga Vietnam di Jalan Landak, Pudu di Dang Wangi di sini pada 7.15 pagi, 14 Dis.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin dan Siti Nursyuhada Abd Rauf atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin selain kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Peguam Charanpal Singh yang mewakili Muhammad Farhan dan Aziz Hakimi Syah mewakili Mohammad Safikri, masing-masing memohon jaminan rendah atas alasan anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Egusra Ali tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Feb tahun depan bagi sebutan kes.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.