SHAH ALAM, 29 DIS: Sejumlah RM450,000 diperuntuk bagi bantuan input pertanian kepada 30 peserta kebun komuniti, kata EXCO pertanian.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata agihan bantuan itu juga merangkumi pelaksanaan projek melon kepada enam kebun komuniti di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dengan bantuan ini, saya berharap dapat menggalakkan penglibatan warga petani dalam pertanian bernilai tinggi seterusnya meningkatkan pendapatan mereka,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau hadir ke program serahan Bantuan Input Pertanian dan Pelaksanaan Projek Melon - Program Agro Bandar dan Kebun Komuniti Selangor di Kampung Pandan Dalam, Pandan Indah.
Baru-baru ini, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk dana hampir RM5 juta kepada sektor pertanian sepanjang tahun ini dengan sebahagian besarnya disalur untuk projek pertanian moden dan bernilai tinggi.
Katanya, bantuan meliputi RM2.75 juta daripada pentadbiran negeri serta RM2.2 juta persekutuan membantu pertumbuhan sektor sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).