BERITA UTAMA

Selangor laksana pelbagai inisiatif kekal destinasi utama pelabur, perniagaan global

29 Dis 2024, 8:00 AM
Selangor laksana pelbagai inisiatif kekal destinasi utama pelabur, perniagaan global

SHAH ALAM, 29 DIS: Selangor melaksana pelbagai inisiatif bagi mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pilihan pelabur dan perniagaan global yang memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

EXCO pelaburan dan mobiliti berkata langkah diambil termasuk kekal komited menarik pelaburan bernilai tinggi, mencipta peluang pekerjaan bergaji lumayan serta memastikan kesalinghubungan pengangkutan awam lebih menyeluruh.

Menurut Ng Sze Han usaha memperkukuh Selangor Mobiliti terus dipertingkat, menjadikan pengangkutan awam lebih cekap dan mesra pengguna untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk pewujudan lapan zon projek rintis van transit atas permintaan (DRT) dari November 2023 hingga Julai lalu, penyediaan 166 bas percuma sejak 2018 hingga 2024 dan penyediaan 50 laluan bas percuma,” katanya.

Tambahnya, sepanjang 2024, sebanyak 50,222 potensi peluang pekerjaan diwujudkan, taburan 32 pusat data dengan 10 dalam pembinaan serta pembangunan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) terbesar di Asia Tenggara.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah bekerjasama merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar, lestari dan kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata Selangor mencatat kutipan pelaburan sebanyak RM66.8 bilion setakat Semptember, melepasi RM55 bilion sasaran ditetapkan tahun ini, menjadikan Negeri ini sebagai negeri paling banyak menarik pelaburan.

Menurut Amirudin ketika ini pentadbirannya sedang memfokus kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dijangka dibentang tahun depan atau 2026 selain beberapa projek lain termasuk Lembah Klang Raya.