ad
AGENDA

Mangsa keganasan rumah tangga dinasihat buat laporan polis segera

29 Dis 2024, 2:30 AM
Mangsa keganasan rumah tangga dinasihat buat laporan polis segera

SHAH ALAM, 29 DIS: Mana-mana individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dinasihatkan segera membuat laporan polis supaya tindakan susulan boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

Peguam Quratulain Atiqah berkata mangsa perlu berani untuk tampil kepada pihak berkuasa dan tidak seharusnya membiarkan diri terus didera sehingga boleh mengancam nyawa.

"Jangan takut untuk membuat laporan polis kerana negara ini ada Akta Keganasan Rumah Tangga yang bertanggungjawab memberi perlindungan kepada mangsa tidak kira lelaki mahupun wanita yang menjadi mangsa.

"Menerusi akta tersebut mangsa akan diberi Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Interim (IPO), Perintah Perlindungan (PO) atau penempatan sementara di tempat selamat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Bercakap ketika bersiaran menerusi program Hai Selangor berjudul Bebas Dari Keganasan Rumah Tangga, Quratulain turut meminta masyarakat membantu memberi sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

"Masyarakat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui wujudnya kes penderaan atau keganasan atau apa jua jenayah di persekitaran mereka.

"Keluarga atau rakan jangan menghakimi atau mempersoal sekiranya mangsa telah lama didera tetapi baharu maklumkan kepada kita sebaliknya berikan mereka sokongan moral supaya mangsa kembali kuat," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.